Followers

Thursday, July 14, 2011

Hilangnya Bapa Pembangunan Bolasepak

15 Julai 2008 negeri Kedah khasnya dan negara Malaysia amnya telah kehilangan Bapa Pembangunan Bolasepak iaitu Dato' Paduka Ahmad Basri bin Akil dan tanggal 15 Julai 2011 genaplah 3 tahun pemergian beliau meninggalkan kita pengamal, pendokong, pengkritik, penyokong bolasepak Malaysia. Beliau mengukir namanya selepas mengambilalih tugas pengurus pasukan bolasepak Kedah pada tahun 1986. Sejak dari itu, Allahyarham tidak memandang ke belakang lagi dan terus merangka pembangunan untuk pasukan bolasepak Kedah dengan projek khas untuk pasukan memasuki perlawanan akhir  Piala Malaysia tahun 1990. Allahyarham tidak perlu menunggu lama untuk ideanya membuahkan hasil kerana setahun kemudian iaitu pada tahun 1987, pasukan Kedah telah berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia setelah 40 tahun bertemu pasukan Kuala Lumpur. Walaupun tewas pada tahun 1987 di perlawanan akhir, Allahyarham tidak pernah kenal erti putus asa dan tidak jemu-jemu untuk membimbing pasukan untuk terus berjaya dan terbukti pasukan Kedah layak lagi ke perlawanan akhir pada tahun 1988, 1989 dan hasil taburan idea serta tidak pernah kenal lelah dan putus asa akhirnya pasukan Kedah berjaya menjulang piala berprestij di Malaysia itu pada tahun 1990. Tetapi sebelum itu, Allahyarham terlebih dahului mengecap kejayaan apabila pasukan Malaysia memenangi pingat emas bolasepak Sukan SEA 1989 di bawah jurulatih Trevor Hartley dan Allahyarham sebagai pengurus (pingat emas bolasepak terakhir Malaysia sehinggalah tahun 2009 ). Langit tidak selalunya cerah, akibat kelantangan beliau serta memegang prinsip Berani Kerana Benar, beliau telah digantung oleh badan induk bolasepak negara iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) dan dilarang memegang sebarang jawatan diperingkat kebangsaan dan juga negeri pada tahun 2001 sehingga tahun 2005. Malang sekali lagi menimpa Alalhyarham apabila beliau sekali lagi digantung pada tahun 2007 selama 3 tahun oleh FAM akibat seperti biasa kelantangan beliau mengkritik badan induk itu di media walaupun kritikan beliau itu bagi sesetengah pihak ada betulnya. Belum pun habis tarikh penggantungan beliau, kita rakyat Kedah dan Malaysia dikejutkan dengan pemergian beliau akibat serangan jantung pada tarikh 15 Julai 2008. Tiada lagi kelibat insan bernama Ahmad Basri Akil di dalam arena bolasepak Malaysia kini namun saya secara peribadi yakin walaupun tiada lagi batang tubuh insan ini tetapi semangat, idea, kecintaan kepada bolasepak Malaysia yang mendalam daripada Allahyarham ada tersemat di sanubari rakyat Malaysia yang cintakan bolasepak Malaysia. AL-FATIHAH untuk Allahyarham.