OPTIMIS untuk merealisasikan misi dan objektif Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), pasukan Johor sudah mula merancang untuk mengadakan persiapan dalam masa terdekat.
Pengurus merangkap Ketua Jurulatihnya, Fandi Ahmad (gambar) berkata, semua pemain dalam pasukannya diingatkan supaya sentiasa mementingkan disiplin, dedikasi dan integriti dalam mengharungi kancah Liga Super pada musim hadapan.
“InsyaAllah pasukan lebih mantap dari tahun lalu. Kita akan mengadakan persiapan dari sekarang.
“Kita dapat beberapa pemain dari pasukan kebangsaan termasuklah Mohd Muslim Ahmad. Mudah-mudahan dengan ada beberapa pemain ‘senior’ dapat membantu pasukan Johor,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Mengulas lanjut mengenai Norshahrul Idlan Talaha, Fandi berkata, PBNJ masih menanti jawapan daripada pasukan Kelantan dan berharap impian penyerang The Red Warriors itu untuk bersama Harimau Selatan tercapai.
“Kita masih ternanti-nantikan kedatangan Mat Yo. Bagi saya dia salah seorang pemain yang baik di Malaysia. Secara teknikal sangat kreatif dan bagi saya adalah satu bonus kalau kita dapat tandatangan daripada Mat Yo,” katanya.
Selain itu, katanya, pasukan Johor bersedia untuk mengambil penyerang Kedah, Mohd Khyril Muhymeen Zambri sekiranya mahu bermain di negeri ini dan tidak terikat dengan sebarang kontrak dari pasukan sedia ada.
“Setahu saya dia masih punyai kontrak, namun saya tidak berapa pasti," katanya.
SUMBER : WARTAWAN SINAR HARIAN
4 November 2012
No comments:
Post a Comment