Assalamualaikum....DoN HanzZ kembali menulis di blog setelah lama ditinggalkan. Puas memikirkan bagaimana nak memulakan kembali menulis diblog dan isu apa yang nak ditulis, lalu terfikir akan kemeriahan suasana bolasepak kita yang makin tahun makin terasa kemeriahannya. Sebelum pergi lebih jauh, tidak lambat rasanya DoN HanzZ ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan kerana menjuarai kejuaraan 'treble' dengan memenangi Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bagi tahun 2012. Tahniah juga diucapkan kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menjadi Naib Juara Piala Malaysia, Sime Darby FC yang menjadi Naib Juara Piala FA. Pasukan ATM yang sudah lama menyepi dari pentas final Piala Malaysia dan selalu dilabel pasukan belasahan tiba-tiba tahun 2012 mendapat sinar baru dan terus menyerlah walaupun bermain di Liga Perdana serta pasukan kelab Sime Darby FC pasukan kelab yang baru ditubuhkan tetapi telah menampakkan meningkatan yang boleh dianggap mendadak.
Selesai sahaja tirai Liga Malaysia dilabuhkan setelah selesai perlawanan akhir Piala Malaysia, kita sudah dengar-dengar tentang perpindahan pemain-pemain ke pasukan baru juga tak terkecuali perpindahan jurulatih juga. Perkhabaran yang pertama sekali yang mendapat liputan meluas adalah isu perpindahan jurulatih Negeri Sembilan Mohd Azraai Khor Abdullah ke pasukan Perak setelah didada-dada akhbar terpampang mengatakan beliau akan kekal di Negeri Sembilan. Bagi DoN HanzZ ianya adalah perkara biasa di dalam bolasepak kerana selagi belum sahih daripada tuan punya badan berita akan tetap hanya sekadar berita. Jurulatih Felda United E.Elavarasan pula telah bersetuju untuk membimbing pasukan Terengganu yang mana pada awalnya juga menawarkan tempat kepada Mohd Azraai Khor. Pastinya pasukan Terengganu menghela nafas lega setelah menghadapi kemelut berkenaan jurulatih bermula dengan penyingkiran Man Zan Mat Aris dimasa pertengahan liga berlangsung serta penggantungan jurulatih kedua mereka iaitu Peter James Butler. Tempat E.Elavarasan di Felda United dengar-dengar digantikan dengan bekas jurulatih Selangor dan Johor FC iaitu K.Devan.
Perpindahan pemain-pemain adalah paling dinanti oleh para peminat dan penyokong bolasepak tempatan kerana pemain adalah tunjang ataupun tonggak kepada pasukan dan menjadi idola kepada penyokong-penyokong pasukan dimana pemain-pemain itu akan bermain. S.Kunanlan pemain kebangsaan dan juga pemain Negeri Sembilan sudah pasti akan bersama pasukan Selangor untuk musim hadapan. Dua pemain Selangor juga iaitu Amirul Hadi Zainal dan Razman Roslan akan menyarung jersi pasukan Pahang bersama bekas penjaga gol Perak Nasril Nordin. Psukan Perak pula telah awal-awal lagi mengikat penjaga gol kebangsaan dan Negeri Sembilan iaitu Farizal Marlias, V.Thirumurugan(Kedah),Abdul Hadi Yahya(Terengganu), Yong Kuong Yong(Felda United) dan Khairi Kiman dari Johor FC dan dikhabarkan akan menyusul S.Chanturu dan S.Subramaniam dari Kelantan dan beberapa nama lagi. Pasukan Johor yang akan berwajah baru musim hadapan setelah Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim mengambil alih tampuk kepimpinan bolasepak Johor dan akan mengendalikan pasukan Johor FC yang bakal dikenali dengan nama Johor pada tahun hadapan juga nampaknya cuba memancing pemain-pemain kebangsaan antaranya kembar Aidil dan Zaquan, Azmi Muslim(ATM), Safiq Rahim dari Selangor, Norshahrul Idlan Talaha(Kelantan) dan beberapa nama besar lagi.
Ini adalah sebahagian cerita corat coret Liga Malaysia untuk musim 2013. Siapa kata Liga Malaysia tidak meriah??. DoN HanzZ menyangkal dakwaan itu. Yang menjadikan ianya tidak meriah adalah kita sendiri. Tepuk dada tanya hati. Liga kita adalah hak kita, jika kita tidak memberikan sokongan sepenuhnya apa maknanya Liga Malaysia kepada kita. Oleh itu marilah kita sama sama memeriahkan Liga Malaysia untuk musim 2013 yang pastinya menjanjikan cerita yang lebih menarik bakal disajikan. Bolasepak Kita Wajah Kita, Wajah Kita Wajah MALAYSIA
No comments:
Post a Comment