Followers

Friday, June 17, 2011

Baiah Ayahanda Cemar Pekida

Baiah ayahanda cemar Pekida (petikan Harian Metro tahun 2007)

Baiah ayahanda cemar Pekida. Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Harian Metro 31 Julai 2007. KUALA LUMPUR: Perjanjian ‘Baiah’ yang tidak diiktiraf tetapi digunakan sesetengah ketua kawasan atau lebih dikenali sebagai ayahanda dalam Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), didakwa menjadi antara punca yang menyumbang kepada pencemaran nama baik pertubuhan itu.

Pengurus Besar Yayasan Pekida Malaysia, Musbri Mohamed, berkata baiah iaitu penerimaan ahli secara perjanjian, bukan melalui borang permohonan didakwa diamalkan sesetengah ayahanda hingga menyebabkan ada individu yang mempunyai akhlak kurang elok diterima sebagai ahli.

Beliau berkata, individu ini tidak berdaftar dengan Pekida tetapi menggunakan nama Pekida sewenang-wenangnya hingga pertubuhan yang mempunyai keahlian lebih satu juta itu sering dikaitkan dengan perkara negatif termasuk budaya samseng.

“Mereka ini masuk Pekida tidak berdaftar tapi kemudian mengaku ahli Pekida dan buat perkara yang mencemarkan nama baik pertubuhan. Di Malaysia, kita ada kira-kira 168 ayahanda yang berdaftar.

“Tapi ada 250 lagi ayahanda yang tidak berdaftar. Mereka inilah yang buat penerimaan ahli secara baiah,” katanya selepas majlis perasmian Karnival Malaysiaku Gemilang oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, di sini, semalam.

Musbri berkata, Pekida tidak pernah terbabit dengan sebarang perkara yang melanggar undang-undang, malah sentiasa terbabit dan menyokong rancangan kerajaan untuk membangunkan bangsa, agama dan negara.

Menurutnya, mana-mana ahli berdaftar yang didapati mempunyai masalah dari segi akhlak atau melanggar undang-undang akan digugurkan keahliannya.

Selain itu, katanya, ujian seperti beradu tenaga secara fizikal yang kononnya antara syarat yang diletakkan untuk menjadi ahli Pekida adalah satu pembohongan dan tidak wujud dalam pertubuhan itu.

“Amalan tidak berasas seperti itu datang daripada sesetengah orang yang mengaku ahli dan mengeksploitasi nama Pekida. Mereka ini adalah golongan yang mempunyai agenda tersendiri.

“Kita tidak amalkan perkara seperti itu. Ini adalah pertubuhan yang sah. Ia sudah lama wujud sejak 1936 lagi dan kami juga sudah berdaftar di bawah Akta Pertubuhan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih dikesalkan, ada segelintir pihak menggunakan nama Pekida untuk tujuan mengutip derma daripada pelajar sekolah kononnya untuk kerja kebajikan.

Katanya, pihak sekolah juga boleh menghubungi terus talian aduan Pekida di 03-40416030 jika didatangi individu mencurigakan yang mengaku sebagai ahli pertubuhan itu dan mahu mengutip derma daripada pelajar sekolah.

Inilah Puncanya RAHSIA YANG TIDAK MENJADI RAHSIA LAGI.

No comments:

Post a Comment